Thursday 28 January 2016

Bapa dan Tandas - Sebuah Cerpen








Semua orang tidak mahu gagal.
Namun, sebenarnya kegagalan itu ialah buah-buah manis untuk menuju kejayaan. Apalah ertinya sebuah kejayaan tanpa ada kegagalan yang mendahului.
Cerpen ini pernah gagal. Tidak diterima untuk penerbitan. Namun saya tahu, ia bukan sebab cerpen ini lemah. Yalah, setiap rumah penerbitan berlainan kehendaknya.
Saya hantar ke Tunas Cipta. Editornya memuji-muji sehingga saya malu kerana saya tahu kekerdilan cerpen-cerpen saya. Namun bersyukur kepada Yang Maha Mengasihi kerana akhirnya cerpen ini terbit juga di sebuah majalah berprestij.

Ia kisah bapa dan anak. Kisah ketabahan dan falsafah hidup.

Persilakan baca di Tunas Cipta Februari 2016.

Monday 4 January 2016

Jiwa Besar Penjual Belon

Hari itu. Di Taman Tasik Taiping, seorang budak lelaki – kecil sahaja saiz badannya, dan kemudiannya baru saya tahu dia tingkatan 3 - sedang makan aiskrim. Kami pula, dalam ramainya orang sedang mencari tempat duduk. Nampak banir pokok yang sesuai. Kami ke situ.  “Eh, kak. Duduk kat sini,” kata budak lelaki, yang makan aiskrim itu kepada isteri saya sambil menunjukkan ke arah banir pokok, yang dia duduk sebelumnya, yang mungkin lebih sedap untuk diduduki. 

Kami juga makan aiskrim. Juga laksa.

Di depan, budak-budak ramai. Main gelongsor. Jongkang-jongkit dan main belon sabun. Riuh rendah tapi nyaman.

Nama dia Nazmi. Sekolah Taman menteri. Katanya dia jual belon badut (ala, belon yang boleh dibuat macam-macam bentuk tu). Ini kali pertama dia berjualan sendiri-sendiri. Sebelum ini dia bersama abangnya. Saya nampak dia kelihatan gugup. Mungkin sebab kali pertama. Dari cermin mata saya ke wajah dia yang juga bercermin mata, saya lihat dia pandang kiri kanan. “Saya tengok majlis bandaran. Tadi ada. Bukan apa, saya meniaga tak ada lesen. Nanti kena rampas.” Gaya dia bercakap, kalau saya tutup mata, memang saya sangka dia dah berumur 20-an lebih.

Isteri saya berbual dengan dia. Saya mendengar sambil jilat aiskrim yang pak cik tadi letak atas konnya dalam keadaan tak berapa stabil. Terpaksa saya habiskan segera.

Mak bapaknya bercerai. Dia tinggal dengan abang dan kakak ipar. Dia berjualan begini untuk menyara diri sambil menolong abangnya.

“Saya cuma nak lesen berniaga saja bukan tapak meniaga,” kata dia, sambil saya tanya macam mana orang lain boleh meniaga di situ, jual belon sabun dan macam-macam lagi. “Oh, diaorang dah meniaga lama.”

Kemudian, dia buka begnya. Masukkan angin dalam belon dan mula berniaga di depan orang ramai. Perniagaannya simple, hanya perlu belon dan tempat mengisi angin belon serta kemahiran membuat pelbagai bentuk belon.

Dia hadiahkan anak saya belon berbentuk beruang.

Ya, tubuhnya memang kecil dan usianya sangat muda. Namun, ada jiwa besar yang saya nampak. Di sebalik keruntuhan kebahagiaan keluarganya, dia pandai menyara diri, mencari rezeki tanpa ada rasa malu.

Saya rasa seperti juga orang lain. Pertama kali dia berniaga belon itu sendirian tentu sekali ada rasa gugup, namun saya lihat dia ada kekuatan untuk mengatasi rasa gugupnya walaupun dia tahu mungkin tiba-tiba ada penguatkuasa yang datang memarahinya dan mungkin merampas barang niaganya kerana berniaga tanpa kebenaran. Tapi itulah jiwa seorang usahawan.

Dia menjual belon, mencipta keriangan kepada kanak-kanak. Namun dalam hatinya saya tahu ada rasa terluka dan kesedihan.

“Lepas ni, saya nak berjualan di tepi jalan di Tesco pula,” katanya. Masa itu malam hampir tiba.

Saya pula, hanya dapat mengambil semangat besarnya.