Wednesday, 25 November 2015

Adakah perpustakaan itu muzium buku?

Lama saya tidak menjengah ke perpustakaan.
Minggu lalu, sambil-sambil menemani isteri yang menghadiri bengkel Kimia di Hotel Heritage Ipoh, saya berkesempatan menghabiskan masa di Perpustakaan Awam Perak. Ini bukan kali pertama saya ke sini. Ini kali kedua. Kali pertama saya datang bertujuan untuk memperkenalkan buku saya kepada pegawai perpustakaan. Mana tahu buku saya mungkin akan dipilih untuk pembelian buku-buku perpustakaan Perak. Maklumlah saya memang orang jati Perak. Mak Abah orang Perak. Pegawai itu mengambil contoh buku yang saya berikan dan akan berikan jawapan kepada saya nanti. Namun, semuanya tinggal harapan. Sekeping surat atau perkhabaran pun tidak ada.Menyesal pula rasanya beri buku percuma kepada pegawai tersebut!

Okay, kembali kepada soal perpustakaan.

Saya menjelajah perpustakaan awam tersebut. Pengunjung daripada kalangan pelajar memang ramai. Maklumlah, masa itu pelajar sedang menghadapi SPM. Mereka mengulang kaji di perpustakaan. Apa yang saya kesalkan ialah berkenaan buku-buku yang terdapat di perpustakaan tersebut. Semuanya buku-buku lama. Tiada buku-buku baharu apatah lagi buku-buku yang terkini. Terfikir saya, ini perpustakaankah atau muzium buku. Aneh sekali perpustakaan yang hanya menyediakan buku-buku lama yang sebahagiannya sudah kelihatan uzur. Adakah semua perpustakaan begitu? Tiada buku-buku baharu. Rasa kelolo pula!

Berbagai-bagai persoalan bermain di fikiran saya. Kenapa jadinya begitu perpustakaan? Kenapa tiada buku-buku baharu.

Adakah perpustakaan itu muzium buku?

Betullah kata-kata yang mengatakan kalau nak lihat buku-buku baharu pergilah ke kedai buku dan bukannya perpustakaan.

Barulah saya tahu perpustakaan hanya menyediakan buku-buku lama yang sebahagiannya adalah buku yang saya baca semasa zaman sekolah rendah dan menengah dulu.

Monday, 23 November 2015

Ada Sesiapakah Baca Blog Ini?

Sebenarnya, saya langsung tidak mempromosi blog ini. memang sengajakan begitu. Saya cuma mahu tahu, ada sesiapa yang baca blog ini. Sila komen?

Menulis Perlu Fokus!





Ini nasihat untuk diri saya sendiri. Jikalau kalian fikir ia bermanfaat, kongsikan sahaja. Fokus. Ia kelihatan senang. Satu patah perkataan dengan lima aksara. Namun, untuk merealisasikannya ialah suatu perkara yang amat susah. Saya fikir, bukan sahaja menulis, banyak benda akan berjaya jika kita fokus.

Dalam penulisan, pengalaman saya sendiri, saya kerap tidak fokus ketika menulis. Sekejap-sekejap saya menulis novel. Belum pun novel tamat, datang pula idea baharu, lantas saya buat pula novel lain. Tiba-tiba rasa mahu buat cerpen, makanya tulis cerpen semula. Eh, eh ... tiba-tiba gatal tangan nak melukis kartun pula.Ambil pen dan kertas lalu conteng-conteng. Tiba-tiba masuk pula ‘job’ penyuntingan yang perlu disiapkan segera. Maka semua kerja ditinggalkan. Semua kerja jalan sekerat-sekerat. Semua tidak menjadi.

Oleh itu sangat penting untuk fokus!

Tulis satu-satu genre. Ataupun kalau kalian hebat, boleh sahaja buat dua kerja tetapi fokuskan kepada matlamat untuk berjaya. Berjaya di sini bermaksud manuskrip itu siap!

Jom fokus untuk kejayaan!

Thursday, 19 November 2015

Sajak: Tetamu Kami Seorang Manusia

klik gambar untuk besarkan

Keputusan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014


Kategori A
Novel – Nenek – Razali Endun (ITBM)
Kumpulan Cerpen – Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim – Malim Ghozali Pk (DBP)
Kumpulan Puisi – Jaulah Sampai Syurga – Muzaf Ahmad (Karyawan Publishing House)
Kajian Sastera – Oksidentalisme dalam Novel Melayu Sebelum Merdeka Hingga Era Mahathir – Dr. Saleeh Rahamad (ITBM)
Biografi/Autobiografi – Biografi Ishak Shaari Pejuang Bumi Semua Manusia – Dr. Mohamed Salleh Lamry (Penerbit UKM)


Kategori B
Cerpen Eceran
1. Al-Kisah Ratu Kebaya dan Walhal Naga – Zainal Rashid Ahmad (Berita Minggu, 14 September 2014)
2. Hingyaku – Ratna Laila Shahidin (Mingguan Malaysia, 31 Ogos 2014)
3. Bara Sang Suri – Zaniffa Azzura Abdullah (Mingguan Malaysia, 20 Julai 2014)
4. Infithaar di Taman Salju – Mawar Shafei (Berita Minggu, 3 Ogos 2014)
5. Selimut – Maskiah Haji Masrom (Mingguan Malaysia, 12 Januari 2014)
6. Delusisma 2.0 (Denggi) – Fahd Razy
7. Psiko – Fudzail (Mingguan Malaysia, 16 Jun 2014)
8. Pesanku Pada Hujan – Malim Ghozali Pk (13 Julai 2014)
9. Seru – Jais Sahok (Dewan Sastera, Mei 2014)
10. Cekur – Lee Keok Chih (Dewan Sastera, September 2014)
Puisi Eceran
1. Membaca Aksara (Buat Profesor Siti Chamamah) – Muhammad Haji Salleh (Dewan Masyawakat, Julai 2014)
2. Al-Kisah, Di Negara yang Memansuhkan Bahasa – Muhammad Haji Salleh (Antologi Puisi Nyala Api dalam Dada, ITBM 2014)
3. Kepada Perempuan Laut – Siti Zainon Ismail (Dewan Sastera, Mei 2014)
4. Rezeki Bumi -Siti Zainon Ismail
5. Perkebunan Budaya Melayu – Basri Abdilah
6. Di Padang Sarjana- Tuah Sujana (Mingguan Malaysia, 5 Januari 2014)
7. Tigris -Rosli K. Matari (Jendela Timur, Ogos 2014)
8. Dari Mimbar Shinjuku (dedikasi buat anakanda) – Syafiq Zulakifli (MingguanMalaysia, 30 November 2014)
9. Mencari Jernih – Shapiai Mohammad Ramly (Antologi Puisi Cerita Alam Gelora Hujung Benua, DBP Wilayah Selatan)
10. Kalaulah Papa Memukulmu, Adib – Rahimidin Zahari (Mingguan Malaysia, 23 Februari 2014)
Esei/Kritikan Sastera
1. Penciptaan Drama Metasejarah Suatu Hasil Eksperimental – Mana Sikana (Dewan Sastera, Mac 2014)
2. Menilai Semula Makna Ekstetik – Prof Madya Dr. A. Halim Ali (Dewan Sastera, April 2014)
3. Teknoteks Menyepadukan Sastera, Teknologi dan Kritikan – Prof. Dr. Sohaimi Abdul Aziz (Dewan Sastera, Julai 2014)
4. Perhubungan Sastera dengan Wayang: Meneliti Genre dalam Prespektif Budaya -Dr. Norman Yusoff (Dewan Sastera, Oktober 2014)
5. Sastera Profetik: Kaffah dalam Revolusi yang Ditangguhkan – Saifullizan Yahaya (Dewan Sastera, Mei 2014)
6. Pembinaan Mercu Tanda Penulisan Malaysia: Yang Dipelajari Adalah Secara Saka (Perennial) – Prof Emeritus Dato’ Ahmad Ibrahim Bajunid (Sastera Teras Negara Bangsa, ITBM)
7. Pembinaan Mercu Tanda Sastera Malaysia: Sastera Sebagai Budaya Tinggi -S.M. Zakir (Sastera Teras Negara Bangsa, ITBM)


Kategori C
Novel Remaja – Gerbang Raudhah – Rohaidah Yon ( Koperasi DBP)
Kumpulan Cerpen Remaja – Tetamu Istimewa – Mohd Helmi Ahmad (ITBM)
Kumpulan Puisi Remaja – Mimpi Kotaku – Hilmi Rindu (ITBM)
Novel Kanak-kanak – Rahsia Dhia – Zainun Mustapha (Koperasi DBP)
Kumpulan Puisi Kanak-kanak – Sakura – Mahaya Mohd Yassin (DBP)
Buku Bergambar Kanak-kanak – Di Mana Sebelah Lagi – Razisatul Asyifah Ismail (Cerdik Publication)

Thursday, 5 November 2015

Perkongsian Ilmu dengan Pelajar-Pelajar MTI

Alhamdulillah saya berkesempatan berkongsi ilmu penerbitan buku dan penulisan dengan pelajar-pelajar Maahad Attarbiah Al Islamiah Changkat Jering sekaligus mengisi masa lapang mereka sesudah peperiksaan PT3.

Saya mengambil peluang ini untuk memperkenalkan dunia penerbitan buku dan dunia penulisan kepada mereka. Saya tahu, pada ketika umur mereka tentunya mereka masih kurang arif tentang dunia perbukuan. Oleh itu adalah menjadi matlamat saya untuk memperkenalkan kepada mereka tentang dunia ini terutama berkaitan tentang kerjaya sebagai seorang editor dan juga sebagai seorang penulis. 

Perkongsian ilmu ini, bagi saya sangat berjaya kerana saya lihat mereka begitu tertarik untuk mengetahui lebih lanjut. Malah, terdapat juga sokongan daripada beberapa orang guru yang turut hadir dan bertanyakan soalan.





Ceramah penulisan dan perbukuan ini merupakan kali pertama yang saya lakukan. Gugup juga pada awalnya. Namun, lama-kelamaan rasa gelisah dan gundah itu hilang.

Seronok rasanya dapat berkongsi perkara yang kita tahu dan dapat menyebarkan ilmu.

Tuesday, 3 November 2015

Pembentangan di Buku Jalanan Selama (BJS)

Kumpulan yang mencetuskan Buku Jalanan Selama terdiri daripada sekumpulan anak muda yang cerdik yang mahukan kegiatan membaca menjadi suatu budaya setempat walaupun duduknya di pinggir pekan atau kampung-kampung.

Saya sempat menerima jemputan BJS untuk membicarakan Kumpulan Cerpen 30 Hari Lagi. Walaupun kehadirannya tidak ramai, namun itu sebenarnya sudah cukup untuk dijadikan permulaan. Pekan Selama pada ketika itu ramai orang kerana penganjuran Fiesta Larut yang julung-julung kali diadakan.

Pembentangan tentang kumpulan cerpen tersebut berlangsung dalam suasana hujan dan kami hanya berteduhkan sebuah pondok kecil yang sudah tentunya menghadirkan tempias hujan. Namun, wajah-wajah pendengar kelihatan begitu teruja apabila saya menceritakan proses pembikinan dan proses kreatif kumpulan cerpen ini. 

Diharapkan BJS akan terus meriah dan menjadi pemula kepada cetusan budaya membaca dan menghargai ilmu.

Bersama anak muda pencetus revolusi perbukuan Selama