Sunting

Showing posts with label sunting. Show all posts
Showing posts with label sunting. Show all posts

Thursday, 29 October 2015

Penyuntingan Kedua, Pertentangan dalam Karya



Faisal Tehrani ada mencatatkan dalam bukunya, Karya Nan Indah Untuk Semua; Penulis perlu menyunting karyanya. Penyuntingan pertama ialah menyunting dari segi ejaan, diksi, sintaksis, nama, tanda baca dan tatabahasa. Penyuntingan kali kedua ialah penyuntingan yang mengambil kira pertentangan atau ambiguiti dalam karya. Contoh yang diberi ialah watak dalam karya ialah seorang watak yang mengangkat Islam tetapi pada masa yang sama melakukan kemungkaran kecil yang mungkin tidak disedari oleh penulis.

Ya, penyuntingan kedua itulah yang seringkali dilupakan oleh penulis.

Watak dan perwatakan yang disampaikan dalam penulisan tidak sama rata. Bercerita tentang seorang imam yang islamik, tetapi tiba-tiba ada adegan yang menunjukkan nilai yang dibawanya itu bertentangan. Perkara ini pula berlaku bukan disengajakan dan tanpa pengetahuan penulis. Saya sendiri pernah membaca manuskrip yang watak utamanya sangat baik tetapi ada sebahagian cerita yang menunjukkan nilainya berlawanan dengan sifatnya yang baik dan alim itu dan saya rasa perkara ini bukan disengajakan oleh penulis.

Ya, dalam dunia ini memang ada orang alim yang tidak baik. Namun, pembaca dapat membezakan kerja penulis yang sengaja mencipta watak sebegitu dengan penulis yang tersilap dan tidak sedar penceritaannya begitu.

Maka jadilah tugas editor untuk menyuntingnya. Tugas berat.

Saturday, 24 October 2015

Manuskrip ditolak?

Penolakan memang perkara yang menyedihkan.
Oh, ini bukan soal cinta. Ini soal manuskrip yang ditolak.  Fikir begini sahaja. Dalam kehidupan ini, sakit memang tidak diminta malah mahu dijauhi.Sebagai manusia biasa,sakit itu memang akan datang. Terima sahaja. Sakit membuatkan kita sedar diri tentang siapa diri kita. Manusia yang tidak sakit mungkin akan lupa diri.
Begitulah juga dengan penolakan manuskrip. Anggap sahaja penolakan manuskrip sebagai suatu perkara biasa yang akan ditempuhi oleh seseorang penulis. Anggap itu semua sebagai pengalaman.
Penolakan bukan bermakna manuskrip anda tidak bagus.mungkin manuskrip tersebut tidak kena dan tidak sesuai dengan sesebuah rumah penerbitan yang dihantar. Berusaha lagi dan teruskan menulis dan menghantar karya.

Saya pernah mengalami penolakan manuskrip yang banyak kali. Mungkin sampai masanya nanti saya akan menulis buku tentang manuskrip yang ditolak.
Apa-apa pun, jalan terus.