Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Wednesday, 25 November 2015

Adakah perpustakaan itu muzium buku?

Lama saya tidak menjengah ke perpustakaan.
Minggu lalu, sambil-sambil menemani isteri yang menghadiri bengkel Kimia di Hotel Heritage Ipoh, saya berkesempatan menghabiskan masa di Perpustakaan Awam Perak. Ini bukan kali pertama saya ke sini. Ini kali kedua. Kali pertama saya datang bertujuan untuk memperkenalkan buku saya kepada pegawai perpustakaan. Mana tahu buku saya mungkin akan dipilih untuk pembelian buku-buku perpustakaan Perak. Maklumlah saya memang orang jati Perak. Mak Abah orang Perak. Pegawai itu mengambil contoh buku yang saya berikan dan akan berikan jawapan kepada saya nanti. Namun, semuanya tinggal harapan. Sekeping surat atau perkhabaran pun tidak ada.Menyesal pula rasanya beri buku percuma kepada pegawai tersebut!

Okay, kembali kepada soal perpustakaan.

Saya menjelajah perpustakaan awam tersebut. Pengunjung daripada kalangan pelajar memang ramai. Maklumlah, masa itu pelajar sedang menghadapi SPM. Mereka mengulang kaji di perpustakaan. Apa yang saya kesalkan ialah berkenaan buku-buku yang terdapat di perpustakaan tersebut. Semuanya buku-buku lama. Tiada buku-buku baharu apatah lagi buku-buku yang terkini. Terfikir saya, ini perpustakaankah atau muzium buku. Aneh sekali perpustakaan yang hanya menyediakan buku-buku lama yang sebahagiannya sudah kelihatan uzur. Adakah semua perpustakaan begitu? Tiada buku-buku baharu. Rasa kelolo pula!

Berbagai-bagai persoalan bermain di fikiran saya. Kenapa jadinya begitu perpustakaan? Kenapa tiada buku-buku baharu.

Adakah perpustakaan itu muzium buku?

Betullah kata-kata yang mengatakan kalau nak lihat buku-buku baharu pergilah ke kedai buku dan bukannya perpustakaan.

Barulah saya tahu perpustakaan hanya menyediakan buku-buku lama yang sebahagiannya adalah buku yang saya baca semasa zaman sekolah rendah dan menengah dulu.

Thursday, 5 November 2015

Perkongsian Ilmu dengan Pelajar-Pelajar MTI

Alhamdulillah saya berkesempatan berkongsi ilmu penerbitan buku dan penulisan dengan pelajar-pelajar Maahad Attarbiah Al Islamiah Changkat Jering sekaligus mengisi masa lapang mereka sesudah peperiksaan PT3.

Saya mengambil peluang ini untuk memperkenalkan dunia penerbitan buku dan dunia penulisan kepada mereka. Saya tahu, pada ketika umur mereka tentunya mereka masih kurang arif tentang dunia perbukuan. Oleh itu adalah menjadi matlamat saya untuk memperkenalkan kepada mereka tentang dunia ini terutama berkaitan tentang kerjaya sebagai seorang editor dan juga sebagai seorang penulis. 

Perkongsian ilmu ini, bagi saya sangat berjaya kerana saya lihat mereka begitu tertarik untuk mengetahui lebih lanjut. Malah, terdapat juga sokongan daripada beberapa orang guru yang turut hadir dan bertanyakan soalan.





Ceramah penulisan dan perbukuan ini merupakan kali pertama yang saya lakukan. Gugup juga pada awalnya. Namun, lama-kelamaan rasa gelisah dan gundah itu hilang.

Seronok rasanya dapat berkongsi perkara yang kita tahu dan dapat menyebarkan ilmu.

Sunday, 25 October 2015

HSKU semakin malap?

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) memang mempunyai prestijnya yang tersendiri. Banyak bakat penulisan lahir dan dipopularkan dari gelanggang ini. Banyak juga buku-buku yang telah terbit dan menjengah dunia pendidikan kita sebagai novel KOMSAS.
Namun, kali ini, HSKU 2014 terasa semacam kesuraman, tanpa palu gendang yang hebat. Juga terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena apabila tiada pemenang tempat pertama dan kedua bagi kategori novel remaja. Tempat ketiga bagi kategori ini dimenangi oleh penulis prolifik, Husna Nazri dengan novelnya, Kudup Hijau Tropika.
Sudah tiadakan novel yang mampu memenangi tempat pertama atau kedua? Namun pada hemat saya, HSKU dikalahkan oleh Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH yang muncul dan lantas mengungguli sayembara penulisan sastera. Hadiah yang ditawarkan lebih bagus dan ia bermula lebih awal. Sudah tentu penulis menghantar karya mereka ke Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH terlebih dahulu.
Namun, kewujudan pelbagai sayembara penulisan harus diperbanyakkan lagi. Makin meriah dunia sastera dan penulis punya ruang untuk beradu 'kekuatan' masing-masing.
Apa-apa pun, HSKU sebagai 'abang besar' sayembara penulisan harus diberikan penghargaan besar. Nilai hadiah tidak penting tetapi imej, prestij dan kualiti karya yang diterbitkan lebih diutamakan.
HSKU tetap akan bernyala besar.

Saturday, 24 October 2015

Buku Cam Ni Cam Tu






Tajuk: Cam Ni Cam Tu
Penulis dan Pelukis: Cikgooden
Penerbit: Tiga Ros Trading Sdn Bhd (Program Pengkarya Guru KPM)
Harga: RM20

Catatan:
Kalian orang Batu Kurau, Perak?
Kalian suka mengimbau kenangan zaman kecil-kecil atau bernostalgia tentang semalam atau hari dulu.
Buku ini memang untuk kalian. Ataupun jika kalian bukan bercirikan kriteria di atas, kalian patut beli buku ini sememangnya bagus. Cikgooden menulis dan melakar seputar pemerhatian dan pengalamannya menjadi seorang pendidik dan menjadi seorang manusia juga.

Kredit gambar: FB Cikgooden
T