Monday 1 February 2016

Penulis ... pastikan betul ejaan dan perkara-perkara asas

Kalaulah kita cinta akan sesuatu, tentunya kita akan berbuat bersungguh-sungguh dan menyayangi. Kita akan menguasai perkara yang kita cinta itu sepenuh hati.

Begitulah jikalau kita mahu menjadi penulis. Perkara pertama yang kita perlu tahu ialah bagaimana untuk menulis dengan betul. Perkara yang paling asas ialah ejaan. Alangkah malunya jika kita seorang penulis ternama dan seorang pejuang Bahasa Melayu tetapi dalam penulisan kita masih ada kesalahan ejaan. Perkara yang saya maksudkan bukan penulisan di media sosial seperti di FB, SMS, WhatsApp atau media sosial lain. 'Di sana' kesalahan tidak perlu dihiraukan sangat kerana ia mungkin berlaku secara tidak sengaja. Papan kekunci kecil dan jari kita pula besar, tergesa-gesa menulis ataupun malas mencari simbol-simbol di skrin telefon atau sebagainya. Namun, ada penulis yang melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya terhadap manuskrip yang dihantar ke syarikat penerbitan. Kesalahan yang dilakukan pula berulang-ulang yang menunjukkan penulis tersebut tidak sedar kesalahannya. Malah kesalahannya pula sangat asas seperti penggunaan kata berganda tanpa adanya sempang, ejaan beg dieja sebagai bag, dan penggunaan tanda baca yang salah. (ini sekadar contoh sahaja).

Ya ... akan ada editor yang menyemaknya. Namun sebagai penulis, lakukan penyuntingan terlebih dahulu terhadap manuskrip anda sebelum menghantarnya. Betulkan yang asas-asas agar nanti tidaklah editor memandang rendah kepada penulis tersebut. Jangan nanti ada editor yang berfikiran begini. "Iskk ... penulis tu kalau memperjuangkan bahasa Melayu cukup hebat tetapi bahasa dia sendiri lintang-pukang."
Ingatlah manuskrip yang anda hantar merupakan pandangan awal seorang editor walaupun nanti manuskrip yang telah menjadi buku telah disolek cantik sehinggakan penulis itu dipuji-puji kerana menghasilkan karya yang hebat dan menggunakan bahasa yang betul, walhal ...

No comments:

Post a Comment