Showing posts with label anekdot untuk Jiwa. Show all posts
Showing posts with label anekdot untuk Jiwa. Show all posts

Friday, 5 February 2016

Kisah Kecil Si Penjual Burger

Saya beli burger.

Si peniaga burger, seorang lelaki tidak tinggi berbadan gempal, bertopi dan bergantungan tuala kecil di tengkuknya.

Dia ramah. Itu membuatkan saya juga menjadi ramah.

"Burger daging dua. Satu tak mahu sos. Satu lagi normal. Macam biasa." Saya memulakan bual, memesan sebetulnya.

Dia langsung bekerja.

Keramahannya membuatkan saya bertanya soalan yang saya simpan setiap kali saya lalu berhampiran gerai burgernya. Di situ ada ATM dan selalu saya mengeluarkan duit di situ. Tentunya saya selalu terpandang dia.

"Bang kenapa abang meniaga di sini. Tempat ini tersorok. Bukan tepi jalan. Bukannya orang nampak."

Ah, itulah yang saya tanya. Memang tempat dia berjualan jauh daripada pandangan. terperok dan hanya yang tahu sahaja tahu. Pelanggan tetap misalnya.

Dia membalas. "Saya nak meningga di atas (sambil menunjukkan ke arah tepi jalan raya) tempat tu sibuk sangat. Saya bawa anak. Takut anak main di jalan."

Nampak! itu jawapannya. Dan jawapan itu tiada apa-apa yang menarik pun jika kita malas merenung dan guna akal fikir.

Dia meniaga di tempat agak tersorak kerana tidak mahu anaknya ditimpa bahaya jika dia meniaga di tepi jalan seperti peniaga burger lain. Dia lebih pentingkan keselamatan anak-anak kerana dia tahu rezeki Tuhan yang bagi dan bukannya manusia.

Saya nampak pergantungannya terhadap Tuhan.
Saya nampak cinta kepada anak-anak.
Saya nampak ...

Monday, 4 January 2016

Jiwa Besar Penjual Belon

Hari itu. Di Taman Tasik Taiping, seorang budak lelaki – kecil sahaja saiz badannya, dan kemudiannya baru saya tahu dia tingkatan 3 - sedang makan aiskrim. Kami pula, dalam ramainya orang sedang mencari tempat duduk. Nampak banir pokok yang sesuai. Kami ke situ.  “Eh, kak. Duduk kat sini,” kata budak lelaki, yang makan aiskrim itu kepada isteri saya sambil menunjukkan ke arah banir pokok, yang dia duduk sebelumnya, yang mungkin lebih sedap untuk diduduki. 

Kami juga makan aiskrim. Juga laksa.

Di depan, budak-budak ramai. Main gelongsor. Jongkang-jongkit dan main belon sabun. Riuh rendah tapi nyaman.

Nama dia Nazmi. Sekolah Taman menteri. Katanya dia jual belon badut (ala, belon yang boleh dibuat macam-macam bentuk tu). Ini kali pertama dia berjualan sendiri-sendiri. Sebelum ini dia bersama abangnya. Saya nampak dia kelihatan gugup. Mungkin sebab kali pertama. Dari cermin mata saya ke wajah dia yang juga bercermin mata, saya lihat dia pandang kiri kanan. “Saya tengok majlis bandaran. Tadi ada. Bukan apa, saya meniaga tak ada lesen. Nanti kena rampas.” Gaya dia bercakap, kalau saya tutup mata, memang saya sangka dia dah berumur 20-an lebih.

Isteri saya berbual dengan dia. Saya mendengar sambil jilat aiskrim yang pak cik tadi letak atas konnya dalam keadaan tak berapa stabil. Terpaksa saya habiskan segera.

Mak bapaknya bercerai. Dia tinggal dengan abang dan kakak ipar. Dia berjualan begini untuk menyara diri sambil menolong abangnya.

“Saya cuma nak lesen berniaga saja bukan tapak meniaga,” kata dia, sambil saya tanya macam mana orang lain boleh meniaga di situ, jual belon sabun dan macam-macam lagi. “Oh, diaorang dah meniaga lama.”

Kemudian, dia buka begnya. Masukkan angin dalam belon dan mula berniaga di depan orang ramai. Perniagaannya simple, hanya perlu belon dan tempat mengisi angin belon serta kemahiran membuat pelbagai bentuk belon.

Dia hadiahkan anak saya belon berbentuk beruang.

Ya, tubuhnya memang kecil dan usianya sangat muda. Namun, ada jiwa besar yang saya nampak. Di sebalik keruntuhan kebahagiaan keluarganya, dia pandai menyara diri, mencari rezeki tanpa ada rasa malu.

Saya rasa seperti juga orang lain. Pertama kali dia berniaga belon itu sendirian tentu sekali ada rasa gugup, namun saya lihat dia ada kekuatan untuk mengatasi rasa gugupnya walaupun dia tahu mungkin tiba-tiba ada penguatkuasa yang datang memarahinya dan mungkin merampas barang niaganya kerana berniaga tanpa kebenaran. Tapi itulah jiwa seorang usahawan.

Dia menjual belon, mencipta keriangan kepada kanak-kanak. Namun dalam hatinya saya tahu ada rasa terluka dan kesedihan.

“Lepas ni, saya nak berjualan di tepi jalan di Tesco pula,” katanya. Masa itu malam hampir tiba.

Saya pula, hanya dapat mengambil semangat besarnya.