Monday 26 October 2015

Ada Apa Dengan Penulis di Ruang Maya, Suatu Pengalaman


Mungkin dapat dikatakanlah,  saya bermula dalam dunia penulisan di ruang maya. Ruang yang dibikin untuk kita meluahkan apa sahaja tanpa ada rasa gentar dan bimbang. Esastera.com, ruang yang saya ‘post’kan hasil cerpen dan sajak saya. Hanya itu sahaja ruang yang saya fikir dapat saya hantar karya saya setelah puas saya menukangnya. Ruang akhbar dan majalah masih takut untuk saya terjah. Tambahan pula ketika itu, zaman belajar dan zaman rasa rendah diri sangat mengisi ruang tubuh. Saya masih ingat, cerpen saya mendapat kritikan daripada Pak Latip, novelis sejarah terkenal, dan ia sememangnya sangat membantu saya menaiktarafkan hasil penulisan saya.
Lama di esastera, ketika sudah bekerja, saya kembali ke ruang penulisan maya baharu iaitu kapasitor.net. Di situ dengan menggunakan nama khairulr, saya menghantar apa-apa sahaja hasil tulis seperti sajak yang entah apa-apa dan juga cerpen. Menariknya, di kapasitor ini kita juga boleh menghantar karya berbentuk lukisan. Malangnya kapasitor hilang tanpa nisan tanpa kuburan sebelum sempat menjadi dewasa.
Kadang-kadang, apabila kita menghantar karya ke media perdana dan karya kita tidak diterima tentu akan diselubungi rasa kecewa. Ya lumrah seorang manusia memang begitu. Kita bukannya Malaikat. Hasil karya tidak tersiar, hasil karya yang ditolak editor atau hasil karya yang datang spontan ketika sedang makan biskut empat segi misalnya saya ‘hantar’ ke portal ilham. Sebuah portal milik Kumpulan Karangkraf yang membenarkan sesiapa sahaja mempamerkan hasil penulisan mereka. Jika bernasib baik, hasil tulisan mereka akan dibukukan. Oh, kini portal ilham itu melangkah selangkah lagi dengan terwujudnya ilham cilik khas untuk anak-anak berkarya.
Esastera, kapasitor dan portal ilham adalah ruang-ruang yang membenarkan penulis segera, penulis tanpa nama, dan penulis yang mencari peluang seperti saya ini untuk mempertajam bakat yang ada. Tanggapan sebahagian manusia yang mengatakan penulisan di ruang maya tidak bersifat sastera, sambalewa, tidak berfaedah dan main-main adalah sesuatu yang tidak betul sekali. Ramai penulis kini lahir di ruang maya. Tidak usahlah saya sebut nama-nama mereka kerana mereka sudah menjadi pemain utama dalam dunia penulisan dan sastera.
Ruang maya menjadi medan meningkatkan skil penulisan kita setelah kita tewas di dunia nyata dan di dunia majalah dan akhbar yang kadang-kadang ada juga sedikit kronismenya. Jangan memandang rendah mereka yang lahir dari dunia ini kerana sebenarnya merekalah penulis cekal yang terus melawan dan gagah bangkit.
Suatu nasihat untuk penerbit-penerbit biayaan kerajaan, mungkin kalian juga harus ada satu platform ataupun portal yang ‘membiarkan’ penulis-penulis meletakkan karya mereka di ruang maya. Syarat dan etika, kalian boleh tetapkan sahaja agar tidak lari daripada visi dan misi yang kalian perjuangkan.
Penerbit indie juga, mungkin boleh?

Buat penulis medan maya, jalan terus dan cipta jaya untuk diri.

No comments:

Post a Comment