Friday 30 October 2015

Jasni Matlani Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award)

Blog ini ingin mengucapkan tahniah kepada pengarang dari Sabah, Jasni Matlani kerana diangkat sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award) untuk kali ke-37 bagi Malaysia.


KUALA LUMPUR: Pengarang kelahiran Beufort Sabah, Jasni Matlani dipilih sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2015. Beliau adalah penerima kedua dari Sabah selepas Datuk Ismail Abbas ( Amil Jaya) menerimanya pada 1992. Pengumuman penerima SEA Write 2015 diumumkan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan dalam satu sidang media khas di Menara DBP di sini, hari ini. Awang dalam sidang media itu menyebut, pemilihan Jasni dibuat berdasarkan kriteria pemilihan yang ditetapkan oleh sekretariat pemilihan SEA Write. "Kami menerima sembilan pencalonan daripada 14 pihak dan ia adalah sambutan yang sangat menggalakkan. "Bagaimanapun dalam memilih penerimanya kami mencari penulis yang cekal berkarya dan bukan hanya aktif dalam satu tempoh masa sahaja," katanya dalam majlis yang turut dihadiri Jasni dan Pensyarah Jabatan Sastera, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dr Hashim Ismail selaku ketua panel juri. Tegas Awang, selain kualiti karya yang dihasilkan, penilaian juga dibuat terhadap sumbangan penerima kepada masyarakat dan pembabitannya dalam proses penataran bakat selain komitmennya terhadap perkembangan sastera kebangsaan. Sementara itu, Jasni menyifatkan pengiktirafan ini sebagai sesuatu yang bermakna dan tidak mudah diperoleh melainkan dengan dedikasi dan kesungguhan. "Saya tidak melihat pengiktirafan ini atas kuota kenegerian tetapi dilihat dari sudut karya dan kesungguhan. Saya berharap pengiktirafan berprestij dan amat tinggi nilainya dalam konteks susur galur sejarah saya dalam bidang penulisan ini. Saya berharap pengiktirafan ini juga akan mendorong rakan penulis lain terutamanya penulis muda untuk lebih giat berkarya. "Saya percaya jika kita berusaha lebih sikit kita akan mendapat yang sesuai dengan apa yang kita harapkan dengan izin Allah," katanya. Majlis penyampaian Sea Write akan berlangsung pada 14 Disember nanti di Bangkok, Thailand. Anugerah Penulisan Sea Write adalah pengiktirafan yang diberikan oleh Kerajaan Thailand dan Yayasan Jim Thompson kepada pengarang dari seluruh negara Asia Tenggara.

Selanjutnya di : http://www.bhplus.com.my/node/92952
Ketika mula-mula saya menjadi editor di ITBM, buku beliaulah yang pertama kali saya tangani, iaitu Kumpulan esei beliau yang mengungkap karya kreatif penulis Sabah.



No comments:

Post a Comment